Khidmat bekas kapten negara, Safiq Rahim, terus ditagih Melaka bagi membantu pasukan negeri Hang Tuah itu untuk mengharungi saingan Liga Super musim 2020.

Pemain tengah itu mengikat kontrak semusim bersama skuad Sang Kancil dalam satu majlis yang turut disaksikan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Damian Yeo Shen Li.

Safiq yang ditemui berkata persetujuan itu dicapai selepas rundingan selama seminggu bersama persatuan berkenaan untuk dia terus menyarung jersi Melaka United.

"Syukur Alhamdulillah, hari ini saya masih bersama pasukan selepas sama-sama berbincang dan memilih untuk bersama pasukan ini bagi musim depan.

"Saya percaya dengan pembaharuan yang ada dalam pasukan ini selain barisan pemain yang dibentuk ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan, Melaka akan mampu menyerlah dalam saingan Liga Super akan datang dan secara peribadi saya akan memberikan yang terbaik," katanya.

Sementara itu, Damian berkata berkata kredibiliti dan pengalaman luas yang dimiliki pemain itu diperlukan skuad bimbingan Zainal untuk membantu pasukan bersaing dengan pasukan lain.

"Kami telah tawar-menawar mengenai hal gaji dan Safiq faham dengan keadaan kewangan pasukan ini. Tetapi saya sangat suka dengan cara Safiq yang mempunyai semangat tinggi.

"Dia juga akan menjadi kapten musim depan mengantikan Shukor Adan, yang memilih untuk tidak lagi bersama Melaka," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bagi kuota pemain import Asia Tenggara, skuad Sang Kancil juga terpaksa melupakan khidmat pemain kebangsaan Filipina, Patrick Reichelt, yang mengesahkan telah menandatangani kontrak bersama kelab di Thailand.

"Kami sememangnya mahu mengekalkannya berdasarkan prestasi yang ditunjukkan, namun menerima keputusannya dan untuk mengantikan tempatnya, kami masih lagi mencari pemain tetapi jika boleh, kamimahu mereka yang pernah beraksi dalam Liga Malaysia," katanya.

Tambahnya, sekurang-kurangnya dua pemain dari Johor Darul Ta'zim (JDT) turut berada dalam radar Melaka, salah seorangnya dijangka berada dalam posisi serangan.

Safiq sebelum ini bersama Melaka United sejak musim 2019 dan membantu skuad Sang Kancil berada di tangga keenam Liga Super.

-- BERNAMA