Safee tiada dalam perancangan Selangor

Oleh Staff Writer 14 Februari 2019 5578
Safee tiada dalam perancangan Selangor
Pengurus pasukan Selangor, Datuk Abdul Rauf Ahmad, mengesahkan tiada perancangan untuk pasukannya menambah pemain baru walaupun bekas penyerang sensasi negara, Safee Sali, dikaitkan semula dengan skuad The Red Giants itu menjelang tarikh tutup jendela perpindahan pemain Liga Malaysia, Rabu depan.

Masa depan Safee dengan Perlis terus hangat diperkatakan selepas pasukan itu gagal melunaskan tunggakan gaji pemain musim ini.

Selangor dilaporkan kembali membuka pintu buat bekas penyerang negara itu menerusi beberapa perjumpaan di antara kedua-dua pihak.

"Buat masa ini, ia tiada dalam perancangan kami.

"Kami telah melakukan persiapan awal sejak perlawanan pra-musim lalu dengan pemain sedia ada.

"Kami yakin barisan pemain ini akan menjelmakan pasukan yang baik," katanya.

Safee sebelum ini sudah berada dalam radar ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, tetapi hasrat itu terbatas kerana kekangan kewangan.

"Kami menyedari bakat dan kebolehan yang dimilki Safee.

"Namun, kami hanya mahu menumpukan kepada perlawanan akan datang tanpa mengendahkan gosip-gosip berkenaan," tambahnya.

Selain Selangor, Safee turut dikaitkan dengan skuad bimbingan K. Devan, Petaling Jaya City FC.

Difahamkan, Safee dan beberapa pemain Perlis yang lain akan meninggalkan pasukan itu sekiranya Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) gagal melunaskan tunggakan gaji mereka selepas perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim II (JDT II) di Pasir Gudang, esok.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen