Ketua jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, menghamburkan pujian kepada penyerang berpengalaman, Safee Sali, yang bekerja keras sehingga penghujung permainan bagi membantu skuad Semut Merah dalam kemenangan tipis 1-0 ke atas Pahang, malam tadi.

Persembahan PKNS tenggelam, terutama dalam separuh masa kedua, apabila gagal menangani kawasan tengah yang didominasi Pahang.

Seakan-akan berpuas hati dengan satu mata, Safee, bagaimanapun, menjelmakan saat terindah buat PKNS apabila menjaringkan gol menerusi tandukan pada masa kecederaan.

Kecemerlangan Safee jelas mengukir senyuman di wajah Rajagobal yang mengakui bekas penyerang kebangsaan itu sedang berusaha mendapatkan semula prestasi terbaiknya.

"Keseluruhan permainannya lebih baik daripada perlawanan pertama.

"Kita boleh nampak kesungguhannya dalam melakukan sesuatu dan kalau dia lebih tenang, saya fikir dia boleh mendapatkan sentuhan lamanya," kata Rajagobal.

Sementara itu, Safee enggan dibuai pujian dengan berkata: "Banyak yang perlu diperbaiki, terutama dalam saingan sebenar liga.

"Kami melakukan dengan baik semasa pra-musim. Dalam perlawanan sebenar, dalam liga yang lebih kompetitif ini, kami cuba memperbaiki dan mengambil sedikit masa untuk menghadapi tekanan permainan sebenar."

Tok Gajah pula terus merana dalam aspek penyudah yang menyaksikan mereka masih ketandusan 180 minit tanpa jaringan.

Jurulatihnya, Dollah Salleh, seakan-akan sudah memberi bayangan jelas akan menghadirkan seorang penyerang import baru bagi menggantikan Sergio Ezequiel Unrein.

"Dari awal lagi, saya risaukan tentang penyerang.

"Kami tidak mempunyai penyerang yang memiliki naluri pembunuh. Kami tidak memiliki sentuhan itu," kata Dollah.

Kredit imej: PKNS FC