Keberkatan bulan Ramadan menjadi sandaran buat penyerang veteran PJ City FC, Safee Sali, ketika meledak jaringan dalam masa kecederaan yang menghadiahkan tiga mata buat pasukannya ke atas Kuala Lumpur semalam.

Safee tidak diturunkan dalam kesebelasan utama atas faktor kecergasan tetapi akhirnya menjadi taruhan terakhir ketua jurulatih, K. Devan, selepas dua penyerang utama, Pedro Henrique dan Washington Brandou, berjaya dirantai pertahanan skuad Warga Kota itu.

Tempoh 10 minit terakhir perlawanan menyaksikan kemasukan Safee yang menerbitkan beberapa detik mencemaskan, antaranya dua percubaan keemasan Kuala Lumpur sebelum Safee menyempurnakan gerakan dalam masa kecederaan untuk memutlakkan kemenangan 1-0 buat PJ City.

"Dalam babak kedua, saya memberitahu pemain agar meningkatkan kepantasan permainan. Kalau Safee tidak masuk ke dalam kawasan dalam situasi satu lawan satu seperti itu, susah untuk kami jaringkan gol," kata Devan.

"Permainan Kuala Lumpur dalam babak awal menyukarkan kami tetapi semangat tidak putus asa yang dipamerkan pemain membuahkan hasil," ujar Safee.

Pertemuan itu juga hampir menyaksikan Indra Putra Mahayuddin mengukuhkan status sebagai penjaring terulung dalam saingan Liga Super dan Safee menegaskan, kudrat veteran juga masih berupaya untuk memperkasakan barisan skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe.

"Penyerang tulen dapat menghidu peluang di depan gol, seperti saya dan Indra Putra. Kalau ada ruang dan pintu terbuka untuk dipanggil skuad kebangsaan, saya rasa tiada masalah," tambah Safee.