Safawi mahu cipta sejarah bersama JDT

Oleh Staff Writer 19 Mei 2019 472
Safawi mahu cipta sejarah bersama JDT
Tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid, tidak mahu terlepas peluang untuk mencatat sejarah peribadi menjulang trofi Liga Super lebih awal buat kali pertama bersama skuad Harimau Selatan.

Tiga tahun lalu, JDT muncul juara Liga Super tatkala saingan masih berbaki dua perlawanan.

Saingan tahun ini menyaksikan kemungkinan mereka mampu mengulangi kecemerlangan yang sama dan Safawi tidak mahu ia terlepas begitu sahaja.

Perbezaan 11 mata dengan Pahang meletakkan JDT semakin selesa dan Safawi dilihat bersedia untuk menjadi sebahagian daripada watak penting dalam perjalanan JDT musim ini.

"Saya rasa mungkin jika kami cuba menang dan tidak ditimpa kekalahan, insya-Allah ia boleh menjadi rekod peribadi saya serta rakan sepasukan yang lain. Ia sesuatu yang tidak ternilai sebagai pemain bola sepak," katanya.

Perlawanan Jumaat lalu menyaksikan Safawi menyumbangkan jaringan pertama buat JDT sebelum juara bertahan Liga Super itu menang 2-1 ke atas PKNS FC 

Ia juga merupakan gol kelima peribadi Safawi yang hanya ketinggalan tiga gol di belakang penjaring terbanyak ketika ini yang juga rakan sepasukannya, Gonzalo Cabrera. 

"Dua atau tiga perlawanan lalu, saya tidak berpeluang menyumbat gol. Namun, semalam saya tekad dan syukur dapat menghasilkan jaringan."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen