Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Safawi Rasid, bangga menjadi watak penting kepada pengesahan kejuaraan Liga Super buat kali kelima berturut-turut buat pasukannya selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-83 ketika mereka menewaskan Perak 2-1 di Ipoh, semalam.

Dimasukkan pada pertengahan babak kedua, Safawi membuktikan bahawa dia adalah senjata utama JDT pada masa ini kerana memberi banyak masalah kepada pertahanan lawan.

Selepas mengucup kejuaraan, Safawi sudah mula memikirkan aksi dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan yang menjadi detik sejarah penting kepada bola sepak negara.

"Saya sangat berpuas hati dengan kejuaraan liga ini. Walaupun saya hanya bermain dalam separuh masa kedua, saya bermain 100 peratus untuk pasukan.

"Ramai melihat Perak terus berjuang dalam perlawanan ini tetapi kami berusaha keras. Alhamdulillah, kami mendapat kemenangan pada malam ini (semalam)," kata Safawi.

Dalam pada itu, pemain pertahanan, Mohd Fadhli Shas, yang telah bersama pasukan sejak 2014, seakan-akan tidak percaya dengan rekod menakjubkan JDT yang terus gagah sehingga hari ini.

"Sudah lima tahun, saya dan rakan sepasukan mendapat kejuaraan Liga Super. Saya sangat terharu. Terima kasih kepada rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan yang bekerja keras sebagai satu pasukan," katanya.