TFC II 1 SABAH 2

Kunjungan skuad Negeri Di Bawah Bayu, Sabah, ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah berakhir dengan nota kemenangan selepas mengatasi Terengganu FC (TFC) II 1-2 dalam aksi Liga Perdana, sebentar tadi.


Maxsius Musa terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah dengan tindakan penyudah pada minit ke-15, namun pembantu pengadil mengesan pemain sayap itu dalam kedudukan ofsaid.

Tujuh minit kemudian, giliran TFC II menguji kubu pertahanan pelawat yang menyaksikan sepakan leret Akanni Sunday Wasiu di dalam kotak penalti mudah diselamatkan penjaga gol, Rozaimie Rohim.

Berpunca daripada sepakan sudut Bruno Junichi Suzuki pada minit ke-34, Sebastian Thurier melepaskan rembatan dari jarak dekat, malangnya percubaan pemain import TFC II itu sekadar melambung tinggi.

Hasrat skuad tuan rumah bimbingan Mustaffa Kamal Abdul Wahab untuk membawa bekalan satu gol ke bilik persalinan tidak kesampaian apabila sepakan percuma Arif Fadzillah Abu Bakar pada minit ke-45 tepat ke dakapan Rozaimie.

Hanya seminit selepas rehat, Hector Ramos meletakkan Sabah di depan menerusi tandukan kemas selepas menerima umpanan menarik Sabri Sahar dari sebelah kiri.

TFC II memperkemaskan rentak dan Andrew Jean Baptiste (m-65) hampir memberikan gol penyamaan tetapi tandukan pemain kelahiran Haiti itu tersasar ke sebelah tepi.

Kem tuan rumah bersorak kegembiraan apabila pemain gantian, Mohammad Ridzuan Razali, menolak masuk bola muntah pada minit ke-85 tetapi dibatalkan kerana ofsaid.

Rodoljub Paunovic menambah duka TFC II dengan gol kedua Sabah pada minit ke-89 sebelum Muhamad Firas Mohd Tarmizi menjaringkan gol sagu hati tuan rumah seminit kemudian, namun sudah terlewat untuk menghalang kemenangan Sabah yang pulang ceria ke Kota Kinabalu.


KEPUTUSAN LAIN

Liga Super

KEDAH 1 JDT 2

Liga Perdana

FELDA UNITED 0 UKM FC 0

PDRM 1 FELCRA FC 3