Sabah dan PDRM, yang layak ke Liga Super musim depan, disarankan agar menyegerakan proses pelesenan kelab bagi mengelak dinafikan tempat dalam kelompok elit Liga Malaysia itu.

Pelesenan kelab adalah antara prasyarat yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menyertai Liga Super dan Liga Perdana.

Selepas diperkenalkan pada 2017, pelesenan kelab itu telah diwajibkan kepada pasukan Liga Super sejak 2018 manakala bagi Liga Perdana pula akan bermula pada 2020.

Syarat yang ditetapkan bagi saingan Liga Super lebih ketat berbanding Liga Perdana walaupun diringankan sebanyak 80 peratus untuk proses permohonan.

"Tarikh tutup untuk menghantar dokumen buat semua pasukan adalah 31 Ogos, jadi semua pasukan ada masa lagi untuk memastikan semua kelengkapan yang diperlukan unyuk pelesenan kelab.

"Dengan itu, selepas 31 Ogos, kami akan meninjau semua permohonan daripada semua pasukan," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Kegagalan mendapatkan pelesenan kelab boleh menyebabkan sesebuah pasukan itu tidak diberikan lesen untuk bertanding dalam pertandingan kelolaan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Liga Malaysia.

Ia adalah petunjuk organisasi membabitkan beberapa kriteria seperti kesukanan, infrastruktur, pentadbiran, undang-undang, kewangan dan perniagaan.

"Tidak banyak pasukan yang memiliki stadium sendiri.

"Mungkin 'tapak' atau 'rumah' PDRM perlu dicadangkan.

"Untuk tahun 2020, mana-mana pasukan mesti mencadangkan stadium 1 atau stadium 2, di mana keperluan stadium itu dinyatakan dalam dokumentasi," tambahnya.