Penyerang import Selangor, Rufino Segovia, melihat daripada sudut positif keputusan penangguhan perlawanan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam gara-gara cuaca buruk, apabila dia dan pemain senior lain meraih waktu rehat tambahan selepas beraksi menentang Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Menurut Rufino yang telah berumur 33 tahun, walaupun hanya sehari, ia berita baik bagi pemain seusianya serta rakan-rakan lain dalam pasukan dalam memastikan proses pemulihan kecergasan lebih baik agar boleh beraksi 90 minit dengan konsisten sewaktu diturunkan di Stadium Tan Sri Hasan Yunos, malam ini.

"Ya, kerana sebelum ini kami beraksi pada Sabtu, jadi kami meraih satu lagi hari tambahan untuk rehat. Ia sangat penting untuk semua pemain, terutama pemain senior yang sudah pasti tidak pulih dengan cepat berbanding pemain muda," katanya.

Rufino juga gembira persefahamannya dengan Amri Yahyah di bahagian serangan semakin mantap, terutama ketika perlawanan berdepan skuad Rusa, sebelum ini.

Dalam aksi itu, Rufino menjaringkan salah satu gol Selangor hasil hantaran lintang Amri sambil Amri turut mencipta beberapa peluang lagi untuk mencipta jaringan buat pemain lain.

"Amri sangat penting dalam pasukan kerana dia adalah pemain yang istimewa. Dia mempunyai kualiti tersendiri. Dia bermain bersama saya pada tahun ini dan tahun lalu, jadi kami memiliki komunikasi yang bagus," katanya.