Jurulatih sementara skuad Kuala Lumpur, Roslee Md Derus, mengakui hanya keajaiban dapat membantu pasukannya kekal beraksi dalam Liga Super musim depan.

Roslee bertekad memastikan kemenangan ke atas Perak dalam perlawanan terakhir Liga Super selain mengharapkan kejaiban daripada Kedah dan PJ City untuk menundukkan PKNP dan Felda United esok.

Biarpun peluang dilihat semakin samar, Roslee tetap mahu anak buahnya mengekalkan momentum serta bekerja keras dalam misi raih mata penuh di tempat lawan.

Baginya, tidak mustahil skuad The City Boys mampu meraih kemenangan ke atas Perak apabila pernah mencatat keputusan seri 3-3 dalam perlawanan pertama.

"Perkara paling penting, kami perlu meraih kemenangan dan mengharapkan PKNP dan Felda tewas," kata Roslee.

Sementara itu, pertahanan Kuala Lumpur, Mohd Fitri Omar, optimis pasukannya masih mempunyai peluang untuk kekal bersaing dalam Liga Super 2020.

"Kami masih yakin kekal dalam Liga Super musim depan. Kami berharap keputusan tidak memihak kepada Felda dan PKNP kerana ia akan membantu kami mengelak daripada penyingkiran," katanya.