Rosle optimis Kuala Lumpur kekal dalam Liga Super

Oleh Staff Writer 14 Julai 2019 1159
Rosle optimis Kuala Lumpur kekal dalam Liga Super
Jurulatih sementara Kuala Lumpur, Rosle Md Derus, tetap optimis terhadap kemampuan pasukannya untuk kekal dalam Liga Super walaupun terus dipalit kekalahan, dengan yang terbaru dibelasah 4-0 ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di laman sendiri, semalam.

Kuala Lumpur semakin hampir mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Super susulan skuad Warga Kota itu terus terperangkap dalam zon penyingkiran liga selepas tewas kepada JDT.

Kekalahan keenam berturut-turut menyaksikan skuad bimbingan Rosle itu kekal di tangga tercorot liga dengan dua mata di belakang Felda United dan PKNP FC.

"PKNP dan Felda berkongsi mata dan ia merupakan peluang buat kami berharap untuk terus kekal dalam saingan Liga Super dengan memastikan kemenangan berdepan Perak dalam aksi terakhir," katanya.

Kuala Lumpur kini tiada pilihan lain kecuali memastikan kemenangan dalam aksi terakhir menentang Perak, 21 Julai ini, sambil mengharapkan PKNP dan Felda United tercicir mata berdepan lawan masing-masing.

"Kami akan berusaha dengan sebaik mungkin berdepan Perak. Kemenangan adalah wajib bagi mengelak daripada penyingkiran ke Liga Perdana."

Dalam perlawanan semalam, JDT meraih gol menerusi Gonzalo Cabrera (m-15), disusuli jaringan Diogo Luis Santo (m-28), sebelum dua jaringan dalam babak kedua oleh Nazmi Faiz Mansor dan satu lagi gol Diogo melengkapkan kemenangan JDT.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen