Rombakan kecil beri kemenangan buat Selangor

Oleh Staff Writer 29 April 2018 4255
Rombakan kecil beri kemenangan buat Selangor
Rombakan kecil dengan memberi ruang kepada pemain muda, Sean Eugene Selvaraj, dan kembalinya Amri Yahyah serta Willian Pacheco membantu Selangor mencipta kemenangan penting 2-1 ke atas Negeri Sembilan semalam bagi menjauhi zon penyingkiran Liga Super.

Tanpa Evan Dimas Darmono dan Ilham Udin Armaiyn, tiada masalah buat jurulatih Selangor, Muhd Nazliazmi Mohd Nasir, yang gembira pemain lain seperti Amri dan Sean mampu menampung ketiadaan mereka berdua.

Malah, keputusan merehatkan ketua pasukan, Razman Roslan, dan mempertaruhkan keyakinan kepada pemain muda, Muhd Amirul Ashraf Ariffin, di posisi pertahanan tengah ternyata tepat apabila satu gol sahaja mampu dibolosi lawan.

Apa yang penting, tiga mata ini menamatkan rentetan kekalahan besar dua kali berturut-turut Selangor, termasuk dalam saingan Piala FA.

"Dalam sebuah pasukan untuk berjaya, kita memerlukan perubahan dan setiap individu untuk menerima perubahan ini," kata Nazliazmi.

"Ini merupakan gol pertama saya bersama Selangor, ia merupakan perlawanan yang sukar untuk berdepan Negeri Sembilan dan saya sangat gembira di atas kemenangan ini," kata Sean pula.

Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor, kini cemas melihat kedudukan skuad Jang yang makin terperosok di dasar liga dan perlu segera bangkit jika mahu kekal dalam Liga Super.

"Kami tidak boleh terus kalah pada akan datang tetapi perlu melakukan sesuatu bagi memastikan Negeri Sembilan tidak tersingkir daripada Liga Super," kata Azraai.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen