Skuad PKNS kehilangan pemain pertahanan, Rodney Celvin Akwensivie, menjelang perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur esok setelah pemain itu dikenakan hukuman penggantungan satu perlawanan.

Rodney terpaksa menjalani penggantungan satu perlawanan akibat mengutip tiga kad kuning ketika bertemu Melaka United, Kedah dan terbaru, berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Larkin, minggu lalu.

Ia memberi tamparan buat pengendali Semut Merah, Datuk K. Rajagobal, dalam usaha untuk mengekang asakan pasukan Kuala Lumpur yang sudah menemui momentum dengan yang terbaru, mengikat Perak 3-3 di Cheras.

"Walaupun saya perlu menjalani penggantungan, saya percaya pemain yang sedia ada mampu melaksanakan misi.

"Saya harap rakan sepasukan mampu melaksanakan amanat jurulatih," katanya sempena aksi di Stadium Shah Alam itu.

PKNS juga sudah melupakan kekalahan 1-3 kepada pendahulu, JDT, sambil Rodney yakin ketiadaannya masih mampu ditampung rakan sepasukan yang lain.

PKNS kini di tangga keenam liga dengan 12 mata dan masih mampu menghambat kedudukan Selangor yang kini di tangga ketiga apabila dijarakkan empat mata.

"Kami mahukan tiga mata sebab jarak mata antara pasukan-pasukan lain terlalu dekat.

"Kemenangan esok boleh membantu kami menjarakkan diri," tambahnya.