Rodney idam sarung jersi Harimau Malaya

Oleh Staff Writer 26 April 2019 6646
Rodney idam sarung jersi Harimau Malaya
Pertahanan muda PKNS FC, Rodney Celvin Akwensivie, berharap prestasinya dalam Liga Super musim ini mampu memikat pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, menjelang pusingan play-off kelayakan Piala Dunia Qatar 2022, Jun depan.

Malaysia akan mengharungi pusingan play-off pertama dengan menentang Timor Leste di Kuala Lumpur, 6 Jun depan.

Rodney, yang menampilkan aksi meyakinkan dengan PKNS FC sepanjang tahun ini, menyimpan hasrat untuk mewakili negara dalam aksi kelayakan itu.

Bergandingan dengan pertahanan senior, Shahrom Kalam, dan pemain import dari Kyrgyzstan, Tamirlan Kozubaev, pemain berusia 22 tahun itu memastikan PKNS FC hanya dibolosi sebanyak 10 kali dalam Liga Super.

"Jurulatih memberitahu bahawa saya telah mempamerkan banyak peningkatan berbanding tahun lalu.

"Saya beraksi baik sepanjang musim ini dan segala-galanya nampak menjadi.

"Ia penting untuk memberikan motivasi terhadap diri saya.

"Apabila sudah beraksi di tahap tertinggi, sudah pasti saya mahu pergi lebih jauh lagi," katanya.

Rodney pernah menjadi pilihan dalam skuad B-23 negara kendalian Datuk Ong Kim Swee dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos lalu.

Difahamkan, Cheng Hoe sedang menilai pemain terbaik untuk memperkuatkan pasukan menjelang aksi dengan Timor Leste itu.

"Saya sememangnya menyasarkan untuk menerima panggilan daripada skuad kebangsaan Jun ini.

"Namun, ia bergantung kepada taktikal dan cara permainan jurulatih.

"Apapun, saya perlu beraksi konsisten dan berkeyakinan untuk menyarung jersi Malaysia," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen