Felda United menetapkan tanda harga RM1 juta buat pemain tengah, Danial Amier Norhisham, yang disahkan menerima tawaran rasmi daripada kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT), untuk memperkuatkan pasukan itu musim depan.

Danial Amier yang mesra dipanggil 'Boy' masih mempunyai baki kontrak setahun bersama Felda, namun kelibatnya tetap menjadi buruan beberapa pencabar Liga Malaysia dan JDT muncul pasukan pertama yang melamar tonggak skuad B-22 negara itu.

"Sekarang memang terima daripada pihak JDT, jadi mereka perlu berbincang dengan kami. Hasil perbincangan itu, jika bersetuju, baguslah.

"Kami juga mahu sesuatu yang adil untuk Felda. Dia sudah tiga atau empat tahun bersama kami dan dia dijaga sejak daripada skuad pembangunan lagi," kata Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman.

Danial Amier menunjukkan prestasi cemerlang setiap kali dirinya bebas daripada sebarang kecederaan dan kini, dia hampir menyertai kelompok pemain muda termahal Liga Malaysia.

Sebelum ini, klausa pelepasan Akhyar Rashid ditetapkan pada kadar RM12 juta oleh JDT manakala Selangor meletakkan harga RM6 juta ke atas tonggak pertahanan, Syahmi Safari.

"Itu saya letakkan kepada pengurusan untuk uruskan. Harga adalah hak mereka untuk tetapkan dan saya sebagai pemain bersyukur dan gembira kerana JDT berminat dengan saya. Buat masa sekarang, saya fokus dengan Felda dan jika ada rezeki ke JDT, Alhamdulillah," kata Danial Amier.

Sementara itu, Afizal memohon penjelasan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenai status tunggakan gaji membabitkan enam pemain dan bekas jurulatih The Fighters, B. Sathianathan, yang masih belum diselesaikan.

Felda tidak menerima agihan geran bagi pembayaran fasa pertama daripada MFL membabitkan jumlah RM1.5 juta pada 15 Julai lalu kerana mempunyai masalah gaji tertunggak.

Situasi itu menyaksikan masalah tersebut diselesaikan terus oleh badan pentadbir Liga Malaysia itu menerusi kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan menggunakan geran berkenaan.

Namun, sehingga kini pemain terbabit selain Sathianathan belum menerima sebarang pembayaran daripada MFL atau FAM walaupun sudah hampir memasuki pembayaran fasa kedua pada Khamis ini.

Pemain yang dimaksudkan adalah bekas kapten, Shukor Adan, Ahmad Syamim Yahya, Wan Zack Haikal Wan Noor, Farizal Harun, Azreen Zulkafali dan Hadin Hazman dengan jumlah tunggakan melebihi RM1.5 juta.

"Sepatutnya MFL menguruskan pembayaran tersebut terus kepada pemain dan jurulatih. Baru-baru ini, kami hantar semula surat kepada MFL bagi mendapatkan status pembayaran agar kami boleh memberi maklumat tersebut kepada pemain," ujar Afizal.

Kemelut itu dilihat menjejaskan persiapan Felda untuk melengkapkan permohonan pelesenan kelab yang perlu dibuat sebelum 31 Ogos ini bagi mengelak daripada kegagalan bertanding musim depan.

"Kami sudah naik ke Liga Super untuk musim depan. Sekarang, kami sangkut kepada isu tunggakan dan diharapkan jika ia dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu ini, proses pelesenan kelab juga dapat dilengkapkan."