Pertahanan Kedah, Rizal Ghazali, muncul wira skuad Lang Merah apabila meledak gol di lewat permainan untuk memastikan kemenangan 3-2 ke atas PKNS FC dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, semalam.

Meskipun berdepan aksi lebih penting Sabtu ini -- separuh akhir pertama Piala FA -- Kedah tetap mempertaruhkan skuad utama berdepan PKNS.

Skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak itu berada di depan seawal minit ke-10 apabila sepakan sudut Edgar Bernhardt ditanduk masuk kapten, Baddrol Bakhtiar.

Tersentak, tuan rumah bangkit menyusun rentak untuk memburu gol penyamaan dan usaha mereka akhirnya berhasil lapan minit selepas rehat.

Kesilapan Shakir Hamzah menepis bola menggunakan tangan menghadiahkan sepakan penalti kepada PKNS dan disempurnakan Kpah Sean Sherman.

Sherman kemudian bertindak cemerlang menggandakan kelebihan buat tuan rumah selepas bijak menewaskan Ifwat Akmal Che Kassim pada minit ke-65.

Perlawanan, bagaimanapun, kembali seimbang pada minit ke-69 apabila Kedah meraih jaringan menerusi pemain gantian, Fayadh Zulkifli Amin.

Ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan seri, Rizal muncul wira Kedah apabila menyumbat gol kemenangan pada masa kecederaan.

"Saya sangat kecewa dengan keputusan ini. Cara kami dibolosi dalam perlawanan membuatkan saya sangat kecewa," kata jurulatih PKNS, Datuk K. Rajagobal.

"Pemain-pemain telah bermain dengan baik hingga tamat perlawanan. Ia merupakan perkara positif yang boleh diambil menjelang aksi separuh akhir Piala FA, Sabtu ini," kata Aidil.