Pemain tengah Felda United, Frederic Bulot, tidak meletakkan dirinya dalam zon selamat untuk berada dalam kesebelasan utama musim 2020 biarpun mempunyai latar belakang sebagai rakan sepasukan kepada tonggak Arsenal, Pierre Emerick Aubameyang.

Pemain dari Gabon iyu, yang sebelum ini beraksi dalam Liga Jepun (J2) bersama kelab Gifu, melengkapkan slot kelima pemain import skuad kendalian Nidzam Jamil berkenaan bagi musim 2020.

Pemain berusia 30 tahun itu turut memperkuatkan skuad kebangsaan Gabon di samping ketua pasukan The Gunners, Aubameyang.

Bagi Bulot, tidak mudah baginya menambat hati ketua jurulatih, sebaliknya terpaksa bersaing dengan rakan sepasukannya bagi merebut kesebelasan utama.

"Bola sepak merupakan gabungan di antara keseluruhan pasukan dan individu.

"Kami perlu buktikan kemampuan bersama pasukan dan ia juga bagus untuk pasukan ini terus berkembang," katanya.

Dalam pada itu, pengendali Felda United, Nidzam Jamil, berharap Bulot mampu membantu skuad The Fighters untuk menghadapi kancah Liga Super musim 2020 seiring dengan latar belakangnya selepas mereka menamatkan saingan di kedudukan ke-10 Liga Super.

"(Selalunya) apabila seorang pemain yang mempunyai repustasi sepertinya datang, maka kami menjangkakan dia akan melakukan segala-galanya.

"Tetapi di Malaysia, ada pemain import yang hadir dengan reputasi yang baik (tetapi gagal menyerlah) kerana bola sepak di sini berbeza.

"Saya harap pemain tempatan dan import yang lain boleh membantunya untuk menyesuaikan diri," kata Nidzam.


Editor: Shaiful Shamsudin