Status perpindahan awang import Terengganu FC (TFC), Luis Gustavo Camilo, akhirnya terjawab berikutan rayuan kedua untuk mendaftarkan pertahanan kelahiran Brazil itu ditolak Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), kelewatan 30 saat selepas Sistem Pemadanan Perpindahan (TMS) ditutup menjadi punca permohonan itu ditolak.

Keadaan itu menyebabkan PBSNT melalui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah membuat permohonan secara manual dan diajukan kepada Jawatankuasa Perpindahan dan Status Pemain FIFA.

Permohonan berkenaan juga ditolak badan bola sepak dunia itu apabila PBSNT dan kelab pemain tersebut dari Brazil itu, Feroviaria FC, gagal melengkapkan dokumen diperlukan.

"Kedua-dua pasukan mencapai persetujuan perpindahan Camilo secara pinjaman, beberapa minit sebelum sistem ditutup.

"Namun, pengurus TMS daripada FAM tidak sempat membuat permohonan (atas talian) setelah 30 saat TMS ditutup kerana kesuntukan masa.

"FIFA turut menolak permohonan manual disebabkan gagal mengemukakan satu dokumen selain permohonan dibuat di luar waktu dibenarkan," kata Setiausaha Agung PBSNT, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Sehubungan itu, Tengku Farok berkata PBSNT akan membuat permohonan khas kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk mendaftarkan pemain yang memiliki ITC di Malaysia.

Malah, skuad Sang Penyu di bawah kendalian jurulatih sementara, Mohd Nafuzi Zain, sudah memiliki calon sekiranya sekiranya pendaftaran khas itu dibenarkan MFL.