"Biar Pesuruhjaya Sukan (PJS) tentukan." Itu reaksi Datuk Ramlan Askolani selaku pengadu berhubung isu penangguhan Kongres Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Ke-31 selepas pihaknya mengemukakan jawapan balas hari ini.

Pihak pengadu diberi tempoh selama tujuh hari oleh PJS untuk menjawab semula jawapan yang telah dikemukakan KLFA pada 14 Januari lalu.

Ia membabitkan 13 soalan yang diajukan mereka kepada kepimpinan KLFA sebelum ini yang berkaitan bantahan terhadap proses kongres itu.

Ramlan mengesahkan pihaknya sudah mengemukakan maklum balas itu hari ini dengan mengharapkan keputusan itu akan memihak kepada mereka.

"Ia merupakan aduan yang kukuh kerana terdapat akuan bersumpah oleh ahli gabungan.

"Dengan hanya satu akuan bersumpah sekalipun, ia sudah cukup untuk membolehkan seseorang itu layak untuk bertanding.

"Oleh kerana kami berasakan ada sesuatu yang tidak kena, sebab itulah kami melakukan protes," katanya.

Terdahulu, Kongres KLFA Ke-31 pada 18 November lalu terpaksa ditangguhkan PJS ekoran wujud bantahan dalam kalangan ahli gabungan yang tidak berpuas hati dengan proses pencalonan kongres itu.

Ekoran bantahan itu, KLFA telah menerima surat daripada PJS pada 22 Disember lalu yang mengarahkan KLFA supaya memberi jawapan berhubung 13 aduan terhadap proses kongres itu dalam tempoh 14 hari.