PKNS 2 SELANGOR 2

PKNS dan Selangor terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.


Dalam aksi terdahulu, Selangor berjaya mengatasi PKNS 2-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur -- menjadikan skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu memasang misi untuk meraih tiga mata di laman sendiri.

PKNS menguasai permainan sejak perlawanan bermula dengan serangan demi serangan dilancarkan dan berjaya membuka jaringan seawal minit ke-18 apabila Rafael Ramazotti menyempurnakan hantaran Bruno Matos.

PKNS terus mengasak kubu pertahanan Selangor, namun deretan percubaan mereka gagal disempurnakan.

Bersambung dalam babak kedua, permainan seolah-olah memihak kepada Selangor, dengan anak buah Nazliazmi Nasir itu mula mengatur langkah mencari ruang untuk menembusi benteng pertahanan PKNS.

Penyerang import, Rufino Segovia, menyamakan kedudukan pada minit ke-79 sebelum pemain gantian, K. Dugan, meletakkan pasukan Gergasi Merah itu di depan 10 minit kemudian.

Ketika Selangor di ambang kemenangan, Ramazotti muncul penyelamat PKNS selepas tandukannya dalam masa kecederaan berjaya sekali lagi menewaskan penjaga gol, Khairulazhan Khalid, untuk kedudukan terikat 2-2 hingga wisel penamat.

Imej: Asiana