Penyerang PKNS FC, Rafael Ramazotti, kini membentuk keserasian lebih baik dengan rakan sepasukannya selepas tiga perlawanan Liga Super serta menyedari aksi seterusnya berdepan Kedah akan menuntut persembahan terbaiknya.

Selepas tiga perlawanan, Ramazotti sudah menjaringkan tiga gol, termasuk dua gol ketika menewaskan Perak 2-0 dalam aksi di Lumut, 10 Februari lalu.

Ramazotti menyedari Kedah, yang turut meraih kemenangan pertama ke atas PKNP FC minggu lalu, pasti mahu mengulangi persembahan sebelum ini untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka.

"Setiap perlawanan adalah penting, bukan sahaja berdepan Kedah. Kami akan cuba mempamerkan persembahan yang cemerlang.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan kerana mereka telah membantu saya untuk mendapatkan keserasian bersama pasukan."

Nada sama turut disuarkan oleh pertahanan, Zac Anderson, yang pernah bersama Lang Merah musim lalu.

Anderson akan mengetepikan ikatan persahabatannya dengan beberapa pemain Kedah seperti Liridon Krasniqi dan Sandro da Silva selama 90 minit untuk aksi pada Ahad ini.

"Saya masih lagi rapat dan berhubung dengan rakan-rakan di Kedah. Tetapi selepas wisel perlawanan ditiupkan, kami akan bermusuhan selama 90 minit," katanya.