Ramadhan azam hadiahkan kemenangan sulung TRW di Kota Bharu

Oleh Shaiful Shamsudin 3 Mac 2017 2215
Ramadhan azam hadiahkan kemenangan sulung TRW di Kota Bharu
Penjaga gol Kelantan, Ramadhan Abdul Hamid, berharap penampilan sulungnya di Stadium Sultan Mohammed Ke-IV malam esok mampu menjelmakan kemenangan sulung The Red Warriors di laman sendiri, musim ini. 

Ramadhan membuat penampilan sulung musim ini ketika Kelantan bertemu Perak di Ipoh, Rabu lalu. 

Selepas berjaya membantu pasukan meraih kemenangan 4-2 ke atas The Bos Gaurus, ketangkasan bekas penjaga gol Harimau Muda B itu sekali lagi bakal ditagih dalam pertemuan menentang T-Team, malam esok. 

Ramadhan mengakui teruja untuk beraksi buat pertama kali di hadapan penyokong sendiri sejak menyertai skuad utama Kelantan musim lalu. 

"Saya sudah lama mengimpikan untuk beraksi dalam Liga Super di tempat sendiri.

"Kadang-kadang saya berasa gugup juga tetapi saya mengharapkan dapat beraksi seperti biasa," katanya. 

Skuad Kelantan kini dalam misi menamatkan rentetan kekalahan dan kebuntuan gol di laman sendiri musim ini. 

Ia menyaksikan mereka tewas tiga perlawanan berturut-turut sebelum bangkit meraih kemenangan motivasi ke atas Perak di tempat lawan. 

"Saya mengharapkan keputusan yang baik malam esok dengan memungut tiga mata. 

"Jika diberi peluang buat kali kedua, saya akan memberi aksi terbaik berbanding permainan ketika menentang Perak."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen