Pengendali PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, menuntut barisan pemainnya agar terus konsisten dalam aksi dengan Melaka United selepas mencipta dua kemenangan berturut-turut di laman sendiri bagi memastikan mereka terus berpeluang mencabar kelompok tiga pasukan teratas.

Semut Merah akan melonjak ke tangga ketiga jika berjaya neraih mata penuh ke atas Melaka di Stadium Hang Jebat malam ini ekoran kekalahan dialami Perak dan Pahang, malam tadi.

Menurut Rajagobal, dia sedikit gusar melihat fokus pemain yang sering kali leka pada penghujung permainan yang membuka kesempatan kepada lawan untuk bangkit.

Justeru, dia tidak mahu skrip sama terus berulang, terutama berdepan Melaka, yang kini mendapat semangat baru di bawah bekas pengendali PKNS, E. Elavarasan.

"Saya mahu pemain memberi tahap yang kami kehendaki dalam aspek, cara permainan, kesungguhan, tenaga yang bagus.

"Pemain juga jangan mensia-siakan peluang dan perlu memberi fokus sehingga perlawanan berakhir," kata Rajagobal.

Pertahanan import , Zachary Anderson, yang mula beraksi dalam empat perlawanan terakhir sebaik pulih daripada kecederaan tetap menghormati kemampuan Melaka biarpun PKNS menang 2-0 di Shah Alam pada 5 Mei lalu.

Fokusnya kini mahu memastikan kubu mereka tidak akan bocor selepas aksi terakhir memperlihatkan mereka hampir dikejutkan Kuala Lumpur sebelum menang 3-2.

"Kami sedang mengusahakan sesuatu di bahagian pertahanan. Kami menang 3-2 ke atas Kuala Lumpur dalam pertembungan lalu.

"Kami menguasai perlawanan itu tetapi melepaskan gol pada penghujung permainan. Kami berusaha keras untuk mengatasi masalah itu," kata pertahanan dari Australia itu.