Penyerang PKNS FC, Kpah Sean Sherman, menjadi duri dalam daging terhadap bekas pasukannya, PJ City FC, apabila meledak dua gol untuk memastikan kemenangan 3-0 skuad The Red Ants itu, malam tadi.

Selepas gagal meraih kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir, PKNS turun dengan keazaman tinggi berdepan PJ City dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam itu.

Aksi separuh masa pertama berlangsung hambar apabila menyaksikan kedua-dua pasukan buntu menghasilkan jaringan.

Namun, sebaik babak kedua bersambung, gol pendahuluan akhirnya berkunjung tiba buat pasukan tuan rumah.

Jaringan itu terhasil daripada hantaran lintang Ariff Farhan Md Isa yang disudahkan Gabriel Guerra pada minit ke-48.

Empat minit berselang, tuan rumah menggandakan kelebihan susulan kealpaan penjaga gol PJ City, Muhaimin Mohamad, yang pantas dihukum Sherman.

Bekas penyerang kelab itu kemudiannya melengkapkan kemenangan bergaya pasukannya menerusi gol kedua peribadi pada minit ke-72.

"Bukan senang untuk dapatkan tiga mata ini walaupun kami menghasilkan tiga gol.

"Tetapi dengan usaha barisan pemain, kami memang berhak menang malam ini (tadi)," kata jurulatih PKNS, Datuk K. Rajagobal.

Jurulatih PJ City, K. Devan, pula merumuskan kesilapan sendiri mengundang padah untuk memaksa mereka akur dengan kekalahan.

"Kami berjaya menyaingi PKNS dalam babak pertama walaupun mereka mengawal permainan dan memaksa kami bertahan.

"Tetapi kesilapan di bahagian pertahanan dalam babak kedua membolehkan PKNS menjaringkan dua gol dalam masa yang singkat," katanya.