Pengendali PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, yakin pasukannya akan merekodkan pencapaian lebih baik berbanding musim lalu walaupun mereka kini tampil dengan 60 peratus pemain muda.

PKNS menduduki tangga ketiga Liga Super musim lalu.

Mereka juga mara ke separuh akhir Piala FA serta ke suku akhir Piala Malaysia.

Bagaimanapun, rombakan besar-besaran dilakukan pasukan itu musim ini dengan hanya meninggalkan P. Gunalan dan Shahrom Kalam sebagai pemain paling senior dalam pasukan.

Pasukan itu bakal diperkuat pemain muda, namun Rajagobal menaruh keyakinan yang tinggi terhadap peluang mereka untuk mencabar kelompok lima terbaik Liga Super musim ini.

"Kemampuan pasukan ini akan dapat dilihat sebaik liga bermula nanti.

"Kami akan memantau kemajuan pasukan menerusi setiap perlawanan.

"Apa yang penting, kami perlu meletakkan kepercayaan kepada pemain muda yang akan menerima tunjuk ajar daripada pemain berpengalaman," katanya ketika ditemui dalam majlis memperkenalkan pemain serta pelancaran jersi PKNS FC di Shah Alam, semalam.

Ia disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman.