Rajagobal lega perkembangan tonggak cedera

Oleh Staff Writer 23 April 2018 714
Rajagobal lega perkembangan tonggak cedera
Pengendali PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, kini dapat merencana strategi dengan lebih berkesan ekoran tiada pemain yang mengalami kecederaan serius dalam misi meraih kedudukan lebih baik dalam saingan Liga Super.

Rentak PKNS dalam kempen musim ini sedikit tergugat, khususnya kerana kecederaan yang dialami dua tonggak pertahanan, Zachary Anderson dan Qayyum Marjoni Sabil, namun kini kedua-duanya sudah pulih daripada kecederaan lutut dan akan memperkuatkan semula pasukan.

Hanya kecederaan ringan yang menimpa K. Reuben serta Rafael Ramazotti selepas aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Perak di Ipoh pada Sabtu lalu yang memberikan Rajagobal sedikit masalah.

"Anderson boleh dikatakan menjadi pemain yang memberikan keyakinan kepada barisan pertahanan tetapi tanpanya, saya tetap memuji barisan benteng lain seperti Azmizi Azmi dan Rodney Celvin.

"Kami akan melihat perkembangan kecederaan pemain lain seperti Reuben dan Rafael," katanya.

Selepas enam perlawanan Liga Super, PKNS menghuni tangga kelima dengan mengumpul 10 mata, dibezakan lima mata dengan pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kekalahan 3-0 di tangan JDT sebelum ini sudah pasti mengecewakan Rajagobal tetapi dia menggesa semua pemain tampil dengan aksi lebih baik menjelang kunjungan PKNP FC di Shah Alam, Jumaat ini.

"Kami dapat melihat peningkatan dan keinginan untuk bermain daripada pemain-pemain. Sewaktu menentang JDT, kami dapat melihat kesannya.

"Pemain-pemain harus memegang tanggungjawab apabila bertandang ke mana-mana tempat atau bermain di laman sendiri," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen