Jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, memberi amaran kepada anak buahnya agar menjaga kedudukan empat terbaik dalam saingan Liga Super bagi mengelak bertemu tiga pasukan teratas dalam undian Piala Malaysia nanti

Syarat utama yang perlu dipatuhi barisan bimbingan Rajagobal itu adalah memastikan kelebihan terus memihak kepada mereka ketika pesaing paling hampir, Kedah, berpeluang untuk menamatkan saingan liga di kedudukan lebih baik.

Aksi dengan Perak menjadi medan penting buat PKNS bagi memastikan kelebihan terus memihak mereka selain kutipan mata pada malam ini adalah jaminan buat mereka kekal dalam posisi empat terbaik Liga Super musim ini.

"Kami akan cuba mendapatkan tiga mata dan akan melihat kedudukan. Ia menjadi kesempatan terbaik buat pemain-pemain untuk sedar bahawa kami perlu menamatkan liga di kedudukan terbaik," kata Rajagobal.

Dalam masa sama, bekas pengendali kebangsaan itu juga sedar bahawa mereka berdepan tugas sukar memandangkan lawan juga menggalas misi yang sama, sekali gus membuatkan mereka tidak mempunyai pilihan selain meraih tiga mata.

"Kami sedar Perak pasti mahu bermain dengan baik bagi memastikan kedudukannya. Namun, sebagai jurulatih, saya tetap yakin dengan kemampuan pemain-pemain memandangkan dalam aksi sebelum ini, ia menghadirkan keputusan positif."