Rajagobal hairan dengan aksi longlai PKNS

Oleh Staff Writer 28 April 2018 1731
Rajagobal hairan dengan aksi longlai PKNS
Walaupun berjaya mengelak kekalahan pada penghujung waktu permainan berdepan PKNP, jurulatih PKNS, Datuk K. Rajagobal, hairan kenapa pemainnya beraksi seperti kurang bermaya, terutama dalam separuh masa pertama, lantas membuka ruang kepada lawan mendapatkan jaringan.

Jaringan lewat Nurridzuan Abu Hassan memastikan PKNS tidak dipalit aib bertemu PKNP yang sebelum itu mendahului hasil gol Muhd Mohd Safar pada minit ke-42.

Situasi itu, bagaimanapun, tidak menceriakan riak wajah Rajagobal yang kecewa secara keseluruhan dengan permainan yang ditampilkan anak buahnya.

Akan bersemuka dengan semua pemain, beliau tidak mahu persembahan sebegitu berterusan ketika perjuangan menmburu takhta Liga Super masih bernyala.

"Secara tiba-tiba, prestasi PKNS menurun dan bergelut dalam perlawanan ini. Ia mengejutkan saya," kata Rajagobal.

Jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, berasa keputusan seri itu adil biarpun melepaskan dua mata berharga di saat-saat akhir.

Beliau juga mengumumkan PKNP telah bersetuju menamatkan kontrak pemain dari Kemboja, Keo Sokpheng, minggu lalu.

"Kami berdisiplin ketika menyerang dan bertahan dalam perlawanan ini. Saya mengucapkan tahniah di atas keputusan perlawanan ini," kata Abu Bakar.

Imej: Asiana

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen