Jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan, tetap berpuas hati meskipun pasukannya hanya mencatat satu kemenangan daripada tiga perlawanan persahabatan.

Selepas menewaskan UiTM FC 3-1 di Kuala Terengganu, 12 Jun lalu, T-Team tewas 0-1 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Jumaat sebelum terikat 0-0 dengan MISC-MIFA di gelanggang lawan, Ahad lalu.

Namun, menurutnya, rancangan untuk membentuk kombinasi pemain berjaya menampakkan penguasaan bola dan gerakan serangan sepanjang aksi pemanas badan itu.

Kecuali aspek penyudah yang perlu diperkemaskan, ketua jurulatih kelahiran Indonesia itu menaruh keyakinan pasukannya mampu mengekalkan fokus sebelum Liga Super bersambung pada 1 Julai nanti.

"Barisan kesebelasan utama mempamerkan prestasi cemerlang dalam tiga perlawanan itu, namun berlaku penurunan sebaik sahaja diganti pemain-pemain simpanan.

“Mereka masih memerlukan sedikit masa lagi untuk menyesuaikan diri dengan empat pemain baharu kami," katanya.

Tambah Rahmad lagi, empat awang importnya, Yannick N’Djeng, Mamadou Samassa, Dilshod Sherofetdinov dan Abdoulaiye Maiga, akan diberi latihan khas sepanjang cuti Aidilfitri.

Program latihan itu akan dikendalikan ketua pegawai perubatan dan fisio pasukan, Mark Lee Soong Keen, sebagai inisiatif meningkatkan kecergasan mereka.

“Tiga aksi persabahatan itu memberi gambaran untuk saya melakukan penggiliran pemain menghadapi 10 perlawanan dalam tempoh sebulan.

“Setakat ini semua berjalan baik walaupun saya berharap pemain-pemain tidak gopoh dan menjaringkan lebih banyak gol."