Proses naturalisasi De Paula, Liridon hampir lengkap 

Oleh Staff Writer 19 Julai 2019 1670
Proses naturalisasi De Paula, Liridon hampir lengkap 
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengesahkan Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi akan mendapat taraf kerakyatan negara ini dalam masa terdekat selepas beliau memberi bayangan positif terhadap proses naturalisasi kedua-dua pemain terbabit, termasuk dua pemain warisan negara.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengadakan pertemuan pertama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 7 Mei lalu bagi membincangkan program naturalisasi berkenaan.

Ia disusuli pertemuan kedua dengan badan induk itu pada 2 Julai lalu untuk menghantar permohonan de Paula dan Liridon untuk dinaturalisasikan yang turut diiringi proses dokumentasi dua lagi pemain berdarah kacukan, iaitu Kobe Jae Chong dan Armin Maier.

Mengulas perkembangan lanjut mengenai perkara itu, ini pengesahan Muhyiddin: "Syarat-syarat Perlembagaan Persekutuan Fasal 15A memberi kuasa kepada menteri atas kes-kes istimewa (seperti pemain naturalisasi) supaya mereka boleh bermain dalam pasukan kebangsaan. 

"FAM telah meminta pegawai KDN untuk menelitinya dan selepas itu, mereka akan bawa kepada saya untuk mempertimbangkan empat pemain terbabit," ujar beliau ketika meninjau latihan skuad PDRM di Pulapol, malam tadi. 

Gambaran positif itu melegakan Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi.

Timbalan Presiden FAM itu mengakui sokongan kerajaan penting terhadap aspirasi berkenaan.

"Dengan sokongan Muhyiddin, jelas sekali KDN berkongsi hasrat dengan FAM bagi memperkuatkan pasukan kebangsaan. 

"Ini akan mempermudahkan sedikit urusan proses naturalisasi pada masa akan datang kerana ini bukan yang pertama. Ada beberapa lagi pemain yang akan menyusul pada masa akan datang," katanya. 

Beliau memberi suntikan moral kepada barisan pemain The Cops menjelang ujian getir menentang Pulau Pinang di Stadium Hang Jebat, Melaka, esok. 

Aksi terakhir Liga Perdana itu cukup penting buat PDRM untuk merebut satu lagi slot ke Liga Super bagi mengiringi kemaraan Sabah.

"Saya berikan nasihat supaya mereka fokus dan berdisplin, mengikuti arahan dan tidak kurang pentingnya, iaitu semangat yang tinggi untuk terus mara ke depan," tambah Muhyiddin. 

"Berikutan peningkatan prestasi pasukan, kami menghidu peluang untuk layak ke Liga Super. 

"Kalau kami boleh capai sasaran ini, ia satu langkah yang bagus buat pasukan," kata jurulatih PDRM, E. Elavarasan. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen