Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali, menganggap Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Damian Yeo, tidak profesional apabila mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap Shukor Adan berhubung isu tunggakan gaji bekas kapten Melaka itu.

Damian mencetuskan kontroversi apabila meluahkan kemarahan dan rasa tidak puas hati dengan cara tidak matang sebagai presiden sebuah persatuan bola sepak negeri.

Kenyataan yang dibuat di laman media sosial miliknya dan dalam satu perbualan aplikasi whatsapp itu tersebar selepas Shukor memfailkan afidavit tuntutan gaji kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Damian kemudian menuntut permohonan maaf daripada pertahanan berusia 41 tahun itu jika mahu tunggakan gajinya dilunaskan MUSA.

Safee menegaskan tindakan itu adalah tidak wajar memandangkan bekas pemain Selangor dan Felda United berkenaan sudah melalui proses yang betul untuk mendapatkan haknya.

"Ia satu kenyataan yang tidak profesional.

"Pengurusan seharusnya bersikap terbuka mengenai (masalah) kewangan yang dialami, termasuk pemain sendiri.

"Jika menghadapi masalah kewangan, mereka harus menyatakannya dan tidak membuat sebarang janji untuk membuat pembayaran.

"Janji itu sudah lama dilafazkan oleh pihak tertentu.

"Saya berasakan Shukor Adan tidak perlu memohon maaf," katanya.

Isu tunggakan gaji pemain yang akan beraksi dalam Liga Perdana itu dengan MUSA turut mendapat perhatian pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang mengarahkan Damian agar segera membayar tunggakan gaji pemain.




Editor: Shaiful Shamsudin