Selepas dikritik hebat Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, yang menuduh mereka mahu lari daripada tanggungjawab ketika pasukan Kelantan sedang menghadapi masalah, dua bekas naib presiden, Datuk Mohd Aizuddin Mohd dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim, tampil membela diri.

Melalui kenyataan media bersama, mereka membuat keputusan menyerahkan surat peletakan jawatan kerana sikap presiden yang tidak mempedulikan kewujudan mereka (termasuk exco) bermula dari awal musim lagi ketika membuat perancangan, terutama melibatkan soal kewangan.

"Bagaimana beliau (Bibi Ramjani) boleh menuduh kami lari daripada tanggungjawab sedangkan kami tidak diberi tanggungjawab dan tugas secara jelas untuk memainkan peranan membantu pengurusan ke arah pembentukan pasukan yang mantap.

"Semuanya dibuat secara solo tanpa membuat keputusan secara konsesus. Paling menyedihkan, exco dilihat sebagai musuh dalam selimut dengan anggapan tidak boleh membantu KAFA.

"Dalam hal ini, soal dana kewangan dan tajaan tidak dibawa ke mesyuarat exco, termasuk beberapa tajaan serta geran tahunan FAM yang diperoleh dan jumlah dana yang sepatutnya atau perlu dibelanjakan pada musim ini, sekali gus menyebabkan ada di kalangan exco yang mendahulukan duit poket sendiri untuk kebajikan pemain demi memastikan kebajikan mereka terjaga," tambah kenyataan tersebut.

Kenyataan media itu juga menjelaskan kemuncak krisis pengurusan bermula apabila Bibi Ramjani membuat keputusan sendiri melantik Fajer Ibrahim sebagai ketua jJurulatih Kelantan yang baru tanpa pengetahuan exco dan memberi kepercayaan penuh kepada jurulatih kelahiran Syria itu dalam membuat semua keputusan kecuali kewangan.