Skuad PKNS FC menghadapi situasi diturunkan ke Liga Perdana apabila mempunyai perancangan untuk dijadikan sebagai pasukan sokongan pada musim 2020, namun keputusan itu belum dimuktamadkan dan masih di peringkat awal perbincangan.

Setiausaha Agung PKNS, Md Adi Harmizi Ariffin, menjelaskan ia susulan langkah penstrukturan semula pasukan The Red Ants bagi tahun depan.

"Setakat ini, kami belum mengemukakan sebarang surat kepada pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Perkara ini masih lagi dalam peringkat perbincangan," katanya.

Sementara itu, Md Adi mengesahkan pemain import dari Kemboja, Chan Vathanaka, digugurkan daripada skuad PKNS ketika jendela perpindahan kedua yang berakhir semalam.

PKNS akan mendapatkan sentuhan pemain berdarah kacukan Thailand dan Norway, Kittiphong Pluemjai, bagi mengukuhkan lagi jentera serangan.

"Kehadiran Vathanaka telah memberi impak kepada PKNS, namun atas strategi pasukan, kami perlu menstruktur semula perancangan dengan barisan pemain yang kami miliki," katanya lagi.