Pemain import Kedah, Liridon Krasniqi, berang dengan insiden di Stadium Darulaman selain mengecam PKNS FC sebagai merosakkan mutu bola sepak ekoran menerapkan permainan kasar sepanjang perlawanan.

Liridon jelas tidak berpuas hati dengan corak permainan yang di tonjolkan barisan E. Elavarasan yang dilihat terlalu kasar untuk satu perlawanan bola sepak.

Mutu bola sepak yang ditonjolkan PKNS membuatkan Liridon mempersoalkan adakah layak pasukan seperti PKNS beraksi dalam Liga Super.

"Kami tidak perlu berkata banyak. Mereka ini tidak bermain bola sepak, langsung tiada corak permainan.

"Bagi saya, mereka ini tidak layak untuk beraksi dalam Liga Super.

"Kedua, mutu pengadilan cukup mengecewakan. Ini adalah kali ketiga kami berdepan situasi seperti ini. Kalau ini adalah sukan ragbi, ia mungkin bukan satu isu tetapi ini adalah bola sepak," tegasnya.

Liridon turut mempersoalkan mengapa kekasaran pemain PKNS gagal menarik perhatian barisan pengadil, malam tadi.

Pemain berusia 25 tahun itu menyebut tentang penyerang PKNS, Patrick Ronaldinho, yang sering mencetuskan kekasaran yang disengajakan.

Buktinya, dua pertahanan tengah Kedah, Zachary Anderson dan Syawal Nordin, terpaksa menerima balutan di kepala kerana disiku Ronaldinho, namun insiden itu tidak diadili sewajarnya oleh pengadil, Suhaimi Mat Hassan.

"Emosi agak tinggi ketika ini, tetapi perlawanan ini cukup fizikal. Jelas mereka mahukan satu mata kerana mahu layak ke Piala FA dan PKNS gembira dengan keputusan ini," kata Zachary.

Sementara itu, pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe mengakui keputusan malam tadi bukanlah senario yang diharapkan.

Cheng Hoe turut berkongsi kekecewaan sama mengenai mutu pengadilan seperti mana disuarakan Liridon.

Dia melabelkan Ronaldinho gagal beraksi dengan profesional kerana berniat untuk mencederakan anak buahnya.

"Pengadil perlu mengkaji semula pemain memakai jersi no.4 PKNS (Ronaldinho) kerana menyebabkan kedua-dua bek tengah saya mengalami kecederaan di kepala.

"Memang jelas apa yang berlaku itu, saya berharap pengadil melihat semula insiden tersebut," katanya.

Pengurus PKNS, Mahfizul Rusydin Abdul Rasid, sebaliknya berasa lega kunjungan pasukannya ke Alor Setar sekurang-kurangnya menghasilkan satu mata dalam usaha mengukuhkan kedudukan selaku 11 pasukan terbaik dalam Liga Super.

Dia turut mempertahankan barisan PKNS dengan menyifatkan setiap terjahan dan kekasaran yang berlaku berpunca daripada keadaan padang yang licin kerana hujan sepanjang perlawanan.

"Kita berasakan permainan pada malam ini, terutama insiden kekasaran serta permainan agresif, adalah disebabkan keadaan padang yang licin.

"Senario itu sekaligus membuatkan permainan malam ini kelihatan agak kontroversi," katanya.