Tiga mata yang dikutip di gelanggang lawan cukup membuatkan ketua jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, menarik nafas lega biarpun skuad kendaliannya tidak mempamerkan aksi sebenar ketika menumpaskan Kelantan 2-0, semalam.

Lebih menghairankan, pemainnya gagal mengambil kesempatan 'membunuh' semangat pemain tuan rumah biarpun berjaya mendapatkan gol pertama melalui Bruno de Matos seawal minit keempat.

"Selepas berjaya mendapatkan jaringan awal, saya fikir kami tidak bermain dengan baik. Kami cepat hilang bola dan bertahan dalam keadaan kami nampak tertekan.

"Jika kami berjaya mendapatkan gol kedua, pasti keadaan menjadi sebaliknya. Pemain akan lebih yakin untuk melakukan hantaran dan serangan. Sudah pasti, Kelantan sukar untuk bangkit semula.

"Namun, apa yang paling penting, kami dapat tiga mata walaupun keseluruhan permainan, kami tidak menunjukkan aksi sebenar," katanya.

Rajagobal yang juga bekas ketua jurulatih kebangsaan memuji persembahan penyerang import, De Matos yang berjaya menjaringkan dua gol cantik untuk memberikan kemenangan berharga kepada skuad Semut Merah itu.

"Bruno (de Matos) boleh dianggap hero selepas Rafael (Ramazotti de Quadros) dan kapten, Mohd Safee (Sali), banyak terlepas peluang menjaringkan gol.

"Kita juga boleh nampak kepantasan Bruno semasa menggelecek dan melakukan hantaran. Kemungkinan besar dia boleh cipta hatrik malam ini (semalam)."

Ditanya kemungkinan PKNS mampu menempatkan diri dalam tiga pasukan terbaik Liga Super musim ini, Rajagobal enggan memikirkannya, sebaliknya fokus lebih terarah kepada mempersiapkan pasukan bagi menghadapi satu demi satu perlawanan.

"Saya tidak mahu membuat kesimpulan, sebaliknya hendak fokus kepada setiap perlawanan yang bakal dihadapi.

"Kami mempunyai perlawanan Piala FA (separuh akhir pertama) bertemu Selangor pada 23 Jun depan dan bertandang ke Darulaman bertemu Kedah untuk Liga Super. Dan, sekali lagi bertemu Selangor untuk separuh akhir kedua.

"Oleh itu, saya tidak mahu terlalu fikir tentang itu (kedudukan tiga terbaik) kerana kalau kami dapat keputusan baik, kemungkinan besar akan berada di kedudukan terbaik juga," tambah Rajagobal.