Melaka terus kempunan untuk meraih kemenangan dalam enam perlawanan terakhir Liga Super apabila diikat 1-1 oleh PKNS FC di Stadium Hang Jebat malam tadi, sekali gus mengekalkan mereka di tangga ketiga terbawah dalam carta.

Jurulatih, E. Elavarasan, memburu kemenangan pertama buat Melaka manakala PKNS berhasrat untuk melonjak ke tangga ketiga jika membawa pulang mata penuh dari sana.

Skuad Hang Tuah bermula dengan positif pada minit ke-10 hasil serangan dari sebelah kiri oleh Azmi Muslim yang disambut Yahor Zubovich tetapi dapat dihalang Rodney Akwensivie.

Lima minit kemudian, pencarian gol pendahuluan berhasil buat Melaka menerusi bola sepakan percuma Jeon Woo-young yang tidak dicabar mana-mana pemain PKNS sebelum menerjah jaring.

PKNS bimbingan Datuk K. Rajagobal mempamer kebangkitan dan beroleh kesempatan melalui sepakan percuma Jafri Firdaus Chew pada minit ke-42 tetapi dinafikan oleh ketangkasan Khairul Fahmi Che Mat sebelum Azmi pantas menyelamatkan keadaan.

Jafri hanya menunggu seminit untuk menebus kehampaan itu apabila meledakkan gol menarik hasil percubaan dari luar kotak penalti yang gagal dihalang Khairul Fahmi.

Rentak permainan sedikit perlahan dalam babak kedua, dengan peluang keemasan dimiliki PKNS pada minit ke-84 oleh Faris Ramli dapat dihalang bekas penjaga gol Kelantan itu.

Pelawat menamatkan aksi dengan 10 orang pemain setelah Daniel Ting dilayang kad merah pada minit ke-86, namun Melaka gagal mengambil kesempatan daripada situasi itu dan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

"Komitmen dalam perlawanan kedua kelihatan sama seperti aksi sebelum ini. Jadi, perlawanan sebegini kebiasaannya akan berakhir seri atau dibezakan satu gol," ujar Elavarasan.

"Situasi ini, di mana kami telah dibolosi menerusi sepakan percuma pernah terjadi sebelum ini dan kami bangkit semula, bermain dengan baik sehingga dapat menyamakan kedudukan," kata Rajagobal pula.