Penyerang Kelantan, Shafiq Shaharudin, menjadi antara muka baru yang bakal memperkuatkan PKNS FC musim depan selain kehadiran beberapa pemain muda lain seperti Tommy Mawat Bada dan Ariff Farhan Mohd Isa.

Shafiq, yang pernah meraih panggilan skuad kebangsaan ketika berdepan Fij, 5 Julai lalu, berjaya memikat hati pengendali PKNS, Datuk K. Rajagobal.

Kehadiran Shafiq dilihat sebagai pengganti kepada Safee Sali, salah seorang daripada 10 pemain tempatan yang dilepaskan selepas musim 2018 berakhir.

Menurut pengurus pasukan, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, selain Tommy serta Ariff Farhan, pertahanan Melaka, Nicholas Swirad, juga sah menjadi pemain baru PKNS manakala penjaga gol PJ Rangers, Farhan Abu Bakar, masih dalam perbincangan kontrak dengan Kedah.

"Ia adalah Nicholas, Ariff Farhan, Shafiq dan Tommy. Ketua jurulatih mahukan pemain itu berupaya mengaplikasikan sistem dan perancangan yang akan dilakukan tahun depan. Tidak semestinya pemain itu muda atau bawah umur 30 tahun," ujarnya.

Sementara itu, Mahfizul mengesahkan PKNS hampir pasti tidak menyambung khidmat pemain import Singapura, Faris Ramli.

Daripada lima tonggak import, PKNS hanya mengekalkan pemain tengah dari Colombia, Romel Oswaldo Morales.

"Saya rasa situasi Faris, dia akan ke pasukan lain. Kami mengucapkan selamat maju jaya untuknya dan besar kemungkinan dia menerima tawaran daripada pasukan Liga Super yang lain," tambah Mahfizul.