PKNS FC 3 KUALA LUMPUR 2

PKNS FC naik ke tangga keempat carta Liga Super 2018 setelah membenam Kuala Lumpur 3-2 dalam aksi di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.


Beraksi di tempat lawan, Kuala Lumpur terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah seawal minit kelima apabila menjaringkan gol pertama perlawanan menerusi pemain pertahanan dari Uzbekistan, Boburjon Akbarov.

Bagaimanapun, pendahuluan yang diraih skuad kendalian Fabio Maciel itu hanya bertahan empat minit apabila PKNS dianugerahkan sepakan penalti susulan Achmad Jufriyanto melakukan kekasaran dan peluang itu mudah disempurnakan oleh penyerang, Safee Sali, untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Safee terus mempamerkan kecemerlangan untuk menghasilkan gol kedua apabila tandukannya memberikan ruang buat pemain dari Singapura, Muhammad Faris Ramli, yang bijak menggelecek dua pertahanan skuad Warga Kota sebelum melepaskan rembatan leret melepasi jangkauan penjaga gol, Ahmad Solehin Mamat, pada minit ke-37.

Skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal itu hampir berada dalam kedudukan selesa ketika aksi memasuki waktu kecederaan babak pertama apabila Zachary Anderson melonjak tinggi untuk menyambut bola sepakan sudut Mahali Jasuli dari sebelah kanan, namun tandukan pemain pertahanan dari Australia itu sekadar melewati palang gol.

Memasuki babak kedua, PKNS tidak menunggu lama untuk terus melebarkan kedudukan apabila pemain tengah, Jonatan Acosta, menyumbat gol ketiga selepas lima minit aksi bersambung.

Pelawat cuba menghidupkan sisa kebangkitan dalam waktu kecederaan apabila Guilherme de Paula meletakkan nama dalam senarai penjaring untuk menyumbat gol kedua Kuala Lumpur pada minit ke-93, namun segalanya sudah terlewat untuk mereka menghalang PKNS daripada meraih kemenangan 3-2.

Dalam satu lagi aksi Liga Super, Kedah naik ke tangga keenam liga setelah menundukkan Negeri Sembilan 2-1 di tempat lawan.

Serangan balas Kedah pada minit kelapan perlawanan membolehkan Liridon Krasniqi menjaringkan gol pertama buat Kedah di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebelum Muhammad Akhyar Rashid menambah gol kedua pada minit ke-15 sementara tuan rumah meraih gol tunggal menerusi pemain import, Flavio Junior, pada minit ke-75 apabila melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti menewaskan Ifwat Akmal Chek Kassim.

Kekalahan itu meletakkan Negeri Sembilan kini terus terperosok di tangga terbawah liga dengan lima mata.


Kredit foto: Facebook PKNS FC