PKNS FC merakam kemenangan 3-2 ke atas Kuala Lumpur dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Shah Alam, semalam.

Kemenangan menjadi keutamaan buat skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu bagi memastikan PKNS merapati jurang mata dengan lima pasukan teratas liga sementara Kuala Lumpur mahu mengelak daripada kedudukan dua tempat tercorot.

Perlawanan bermula rancak apabila pelawat terlebih dahulu membuka jaringan hasil percubaan Nonijon Akbarov pada minit kelima.

Indra Putra Mahayuddin turut memiliki peluang gol pada minit keenam, namun percubaannya melepasi palang gol PKNS.

PKNS kemudian dihadiahkan sepakan penalti pada minit kelapan apabila Faris Ramli dikasari Firdaus Fauzi dalam kawasan penalti pelawat.

Kapten pasukan, Safee Sali, tenang menyempurnakan sepakan pada minit kesembilan untuk gol penyamaan.

PKNS kemudian terus menggandakan asakan dan hasilnya, Faris meletakkan pasukannya di depan sebelum tamat separuh masa pertama.

Masuk ke babak kedua, PKNS terus memberi tekanan buat Kuala Lumpur.

PKNS sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti apabila Firdaus Faudzi tersentuh bola dengan tangan dalam kawasan penalti.

Jonathan Acosta tenang menyempurnakan sepakan penalti, sekali gus memberin keselesaan buat PKNS mendahului perlawanan.

Kuala Lumpur kemudian meraih gol kedua dalam masa kecederaan menerusi Guilherme de Paula, namun gagal menafikan kemenangan PKNS.

"Saya agak kecewa kerana bolos pada penghujung permainan, perkara itu telah berlaku dan kami mengambilnya sebagai pengajaran," kata Rajagobal.

"Kami cipta lebih banyak peluang seperti cubaan tepat dan memberi tekanan ke atas lawan. Namun, hari ini mereka bertahan dengan baik, jadi kami perlu bangkit kerana ini adalah bola sepak," kata jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel.

Imej: Asiana