Abu Bakar Fadzim yakin PKNP FC akan mendapat pengganti kepada Thomas Abbey untuk memperkukuhkan pasukan itu menjelang perlawanan dengan Kuala Lumpur di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Ahad ini.

Menurut jurulatih PKNP itu, dia difahamkan pemain itu sudah dalam perjalanan ke Ipoh, Perak, dan dijangka tiba dalam tempoh terdekat.

Kedatangan pemain dari Brazil itu memang dinantikan pasukan konglomerat itu yang menyimpan azam berada dalam kelompok lapan terbaik musim ini untuk kekal dalam Liga Super 2020 .

"Kami perlukan pengganti Abbey untuk memperkukuhkan lagi jentera serangan selepas Abbey mengalami kecederaan dan terpaksa berehat lapan minggu," katanya.

Setakat ini, PKNP FC bergantung kepada Giancarlo Lopes Rodriguez dan Yashir Pinto untuk menggempur kubu lawan.

Kebimbangan Abu Bakar itu difahami kerana ketika ini mereka menghuni kedudukan ke-10 daripada 12 pasukan dengan mengutip 12 mata.

Bagaimanapun, beliau yang juga pengurus pasukan mampu menghela nafas lega apabila melihat kesungguhan pemain tempatan ketika bertemu Selangor di Seri Manjung, Sabtu lalu.

Dalam perlawanan berkesudahan 1-1 itu, PKNP FC turun tanpa tonggak, Hafiz Ramdan, Amani Aguinaldo dan Giancarlo Lopes Rodriguez.

Begitupun, bagi menghadapi skuad Warga Kota bimbingan Chong Yee Fatt nanti, Abu Bakar yakin dapat menurunkan kesebelasan utama yang lebih bertenaga.