PKNP FC kekal di tangga kelapan Liga Super manakala PKNS melonjak ke tangga ketiga apabila keputusan 1-0 memihak skuad Semut Merah itu di Ipoh, semalam.

Kedua-dua pasukan turun dengan misi masing-masing apabila PKNP berhasrat untuk kekal dalam persaingan Liga Super musim depan manakala PKNS mengintai mata untuk mencabar kedudukan kedua liga.

Bagi pengendali PKNP, Abu Bakar Fadzim, kekalahan 1-0 itu tidak menjejaskan kedudukan pasukan dalam liga kerana pesaing terdekat turut menghadapi situasi yang sama.

"Saya terima kekalahan ini kerana tahu kelebihan pihak lawan tetapi PKNP tetap menunjukkan persefahaman tinggi, ada kemahuan dan berjaya memberi tentangan sengit. Gol mudah dijaringkan hasil daripada kesilapan pertahanan muda saya pada minit awal sebelum kami menemui rentak," ujar Abu Bakar.

Perlawanan semalam menyaksikan pelawat meraih gol tunggal menerusi Muhammad Faris Ramli apabila menerima lorongan hasil tandukan Rafeal Ramazotti pada minit keempat.

"PKNP akan membuat perhitungan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT). Tentu sukar dan kami kehilangan Ahmad Sukri Abd Hamid akibat layangan kad merah, semalam.

"Saya juga berharap pemain import yang cedera, Karl Max Dany, dapat pulih bagi memperkuatkan pasukan menjelang saingan Piala Malaysia nanti."