Tiada pilihan buat PKNP FC melainkan kemenangan ke atas PKNS di tempat lawan dalam aksi Liga Super malam ini bagi mengelak mereka terus dihimpit tekanan yang semakin memuncak.

PKNP masih belum mencatat sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan sehingga meletakkan mereka kini terperosok di kelompok bawahan liga.

Situasi itu jelas tidak mahu dilihat pengendalinya, Abu Bakar Fadzim, untuk terus berlanjutan dalam menghadapi baki kempen musim ini.

Bagaimanapun, dia mengakui bukan mudah untuk mencuri mata menjelang aksi di Shah Alam, malam ini, apatah lagi PKNS gah dengan membenam Selangor 4-0 minggu lalu.

"Kami tahu PKNS adalah pasukan yang kuat. Mereka dibarisi ramai pemain berkaliber dan membuktikan mutu tersendiri setelah membenam Selangor 4-0. Ia sesuatu yang perlu kami awasi. Kami perlu merancang dan bagi saya, setiap mata yang dibawa pulang ke Ipoh sangat berharga," katanya.

Dalam masa sama, Abu Bakar menaruh keyakinan terhadap dua tonggak import baru pasukannya, Giancarlo Lopes dan Amani Aguinaldo, dapat segera mengikuti corak permainan pasukan.

Kehadiran Lopes dari Brazil diharap memperkuatkan bahagian serangan PKNP manakala pemain kelahiran Filipina, Aguinaldo, bakal mengisi benteng pertahanan.

"Memang secara realistik, dalam tempoh dua atau tiga hari dia bersama pasukan, masa diperlukan untuk mendapatkan keserasian tetapi kami perlu berusaha bagi meningkatkan momentum pasukan," tambah Abu Bakar.