PJ CITY 1 PKNP 0

Perlawanan hidup mati bagi PKNP gagal menyelamatkan mereka untuk kekal dalam Liga Super musim depan setelah tewas 1-0 kepada PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.


Skuad pelawat kendalian Abu Bakar Fadzim itu harus terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-17, namun Juan Carlo Rodriguez gagal menyudahkannya ketika berada dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Tiada lagi percubaan dan gol yang terhasil hingga tamat separuh masa pertama.

Harapan PKNP seakan-akan lebur apabila PJ City dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan, Filemon Standly, pada minit ke-75 dan Washington Brandao menggunakan peluang itu untuk meletakkan skuad kendalian K. Devan itu mendahului dengan satu jaringan.

PKNP mempamerkan serangan demi serangan bagi mencari gol penyamaan, namun mereka terpaksa akur dengan kekalahan, sekali gus kembali beraksi dalam Liga Perdana musim depan.

PKNP bakal diiringi oleh Kuala Lumpur yang turut tersingkir apabila tewas 1-2 kepada Perak di Ipoh sementara Felda United pula memastikan mereka mengelak penyingkiran apabila mengatasi Kedah 5-1 di Jengka.

Keputusan lain:

FELDA UNITED 5 KEDAH 1

​PERAK 2 KUALA LUMPUR 1


Imej: PJ City FC