Pengalaman bersama Perak empat tahun lalu bijak digunakan Abu Bakar Fadzim sebagai jaminan mereka tidak berputih mata dalam pertemuan dengan Kelantan dalam aksi Liga Super, malam tadi.

Ternyata, ia menjadi dan kekurangan Kelantan, yang dibarisi pemain kurang pengalaman selain hanya menggunakan seorang pemain import, membuat PKNP berada dalam situasi langkah kanan untuk meraih kemenangan 2-1.

"Saya menggunakan pengalaman semasa membimbing Perak pada 2014. Kami mempunyai naluri membunuh, kami menunggu ruang dan peluang ketika menerima asakan.

"Kami cuba menyerap tekanan sepanjang 20 minit awal," katanya.

Perlawanan malam tadi juga menyaksikan beberapa pemain import berada dalam pemantauan dan bakal digugurkan, antaranya Yeon Gi-sung yang gagal mempamerkan kualiti import sebenar.

"Saya tidak lihat sebarang alasan yang kuat untuk saya mengekalkan Yeon Gi-sung. Saya akan menghantar kertas cadangan kepada pihak pengurusan kerana sudah 10 perlawanan saya bersabar dan memberi peluang kepadanya untuk menjaringkan gol. Setiap perlawanan dia memiliki peluang dan itu sebahagian daripada nasib kurang baik PKNP," ujarnya lagi.

Kemenangan PKNP juga terpaksa dibayar dengan kecederaan serius yang melanda kapten pasukan, Shahrel Fikri Md Fauzi, yang mengalami kecederaan di bahagian dada lalu dihantar ke hospital serta-merta.