PKNP FC 1 SELANGOR 1

Impian Selangor untuk meraih tiga mata dalam kunjungan ke Seri Manjung tidak kesampaian apabila diikat PKNP FC 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, sebentar tadi.


Walaupun berdepan lawan pincang yang turun tanpa empat tonggak, iaitu Mohd Hafiz Ramdan, Thomas Abbey, Amani Aguinaldo dan Giancarlo Lopes Rodriguez, Selangor dilihat tetap gagal menggunakan kelebihan yang dimiliki.

PKNP tampak goyah dalam babak pertama susulan ketinggalan kepada pelawat apabila penggempur yang meledak hatrik ketika membenam Kedah 3-1 sebelum ini, Ifedayo Olusegun Omosuyi, mudah menolak bola masuk ke gawang setelah menerima lorongan Sandro Da Silva pada minit ke-29.

Bagaimanapun, jaringan tersebut merupakan peluang tunggal yang dapat diterjemahkan kepada gol walaupun skuad kendalian B. Sathianathan itu dihidangkan dengan deretan peluang.

Sebaliknya, kekentalan benteng PKNP yang dikemudi kapten, Shukri Hamid, dan Pedro Victor Calil Sandoval serta rakan sepasukan ternyata menyukarkan usaha pelawat.

Di depan penyokong sendiri, PKNP bangkit dalam babak kedua dan mereka hanya memerlukan dua minit selepas aksi bersambung untuk memadamkan kelebihan pelawat menerusi jaringan penyerang berusia 26 tahun, G. Mugenthiran.

Aksi seterusnya menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha gigih mencari gol tetapi kegagalan menyudahkan peluang membuatkan masing-masing terpaksa berpuas hati berkongsi mata.

Kredit foto: Facebook PKNP FC

Keputusan lain
Liga Super


KEDAH 2 MELAKA 1
FELDA UNITED 1 TERENGGANU 1


Liga Perdana

NEGERI SEMBILAN 3 KELANTAN 1
UITM FC 2 SARAWAK 1