Hasrat Mohd Hafiz Kamal meneruskan kerjaya bola sepaknya hampir pasti tercapai apabila mendapat talian hayat daripada PKNP FC untuk beraksi dalam kancah Liga Malaysia 2019.

Pemain tengah itu, yang tidak disambung kontrak oleh Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), sudah menyertai PKNP sejak tiga hari lalu.

"PKNP beri peluang kepada Hafiz Kamal. Dia kini sudah menyertai latihan bersama kami selama tiga hari," kata ketua jurulatih, Abu Bakar Fadzim.

Abu Bakar juga menjelaskan walaupun Hafiz sudah tidak beraksi selama setahun, pemain tengah kelahiran Pantai Remis itu masih boleh menjadi aset besar kepada pasukan.

"Hafiz mungkin tidak secergas dahulu tetapi pengalamannya cukup berguna, terutama untuk membimbing pemain muda saya.

"Dia mampu menjadi pemimpin yang baik dalam padang kepada PKNP," tambah Abu Bakar.

Hafiz, 31, menjalani pembedahan lutut selepas mengalami koyak ligamen di belakang lututnya yang dialami pada September 2017 sehingga menyebabkan dia terpaksa berehat sepanjang musim 2018.

"Saya sedang memantau tahap kecergasannya dan berharap dapat membantu pemain itu mendapat kembali keyakinan dan rentak," ujar Abu Bakar.

Selain Hafiz, jurulatih itu juga memberi peluang kepada M. Mugenthiran dan bekas pemain Felda United, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri.

Abu Bakar menambah PKNP akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Perlis, Ahad ini, dan bercadang menurunkan Hafiz serta seorang pemain import baru yang dijangka tiba esok atau lusa.

"Pengalaman mereka pasti berguna buat pasukan.

"Saya buat keputusan selepas melihat meteka beraksi dalam latihan serta perlawanan persahabatan dengan Selangor minggu lalu," ujar Abu Bakar.