Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, membayangkan untuk menukar import di bahagian tengah bagi menambah sengat di jentera serangan menjelang jendela perpindahan kedua pemain yang akan dibuka 2 Mei ini.

Perlawanan Liga Super menentang Selangor di Stadium Shah Alam, kelmarin, mencerminkan bahagian tengah PKNP jelas kekurangan idea untuk merencanakan serangan sehingga barisan penyerang sukar untuk menerima umpanan dan hantaran bagi memudahkan urusan meledak jaringan.

Ketika ini, PKNP mempunyai seorang pemain tengah import, Thomas Abbey, dari Ghana.

Bagaimanapun, Abu Bakar masih perlu berbincang dengan pengurusan mengenai peruntukan pasukan sebelum jendela perpindahan pemain yang kedua ditutup 29 Mei depan.

"Kami ingin menambah baik pengaruh pemain import daripada segi kekuatan.

"Bukan PKNP sahaja, bahkan banyak lagi pasukan lain ingin berbuat demikian," ujar Abu Bakar.

Sementara itu, pemain import di bahagian serangan, Yashir Pinto, menganggap keharmonian dalam pasukan akan memacu mereka.

"Kami dalam sebuah keluarga yang bahagia.

"Kami perlu berjuang bersama-sama dan setakat ini, semuanya dalam keadaan baik tetapi kami masih perlu tingkatkan prestasi," kata pemain kelahiran Chile yang mewakili Palestin itu.

Dalam masa yang sama, PKNP turut berdepan dilema apabila bakal berdepan "pasukan abang", Perak, untuk suku akhir Piala FA 2019.

Lega kerana tidak perlu mengharungi perjalanan yang jauh apabila kedua-dua perlawanan akan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung dan seterusnya di Stadium Perak, Ipoh, namun beliau mengakui ketika ini keadaan pasukannya amat genting ekoran ramai pemainnya mula mengalami simptom kepenatan ekoran jadual yang padat.

"Apabila sudah sampai ke peringkat suku akhir, kesilapan perlu dielakkan.

"Pertahanan dan seluruh pasukan perlu lebih berdisiplin. Semakin dekat dengan penghujung perlawanan, bahayanya semakin dekat," tambah Abu Bakar.