PKNP FC memperbaiki kedudukan dalam Liga Super apabila menewaskan tuan rumah, Kelantan, 2-1 di Stadium Sultan Mohammed IV, Kota Bharu, malam tadi.

Menurut pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, ini adalah kemenangan sulung di tempat lawan, yang meletakkan pasukan itu di kedudukan lebih selesa.

"Syukur. Misi dan kegigihan pemain-pemain PKNP berjaya merelisasikan impian pasukan untuk mencari kemenangan sulung di tempat lawan, seterusnya memberi mata penuh yang begitu berharga dan melonjakkan PKNP ke tangga keenam," ujarnya.

Mengenai tentangan sengit barisan muda Kelantan, Abu Bakar menjelaskan perkara itu sudah dijangka.

"Saya sudah menjangkakan perkara ini, apatah lagi kami datang sebagai pelawat. Sejujurnya, kami diasak sebaik wisel permulaan ditiupkan. Kelantan mahu gol awal, namun pemain bertindak cemerlang membaca gerak-geri lawan."

PKNP berada di depan apabila Mohamad Hafiz Ramdan menjaringkan gol pada minit ke-60. Walaupun Kelantan menyamakan kedudukan 1-1, namun ketua pasukan, Muhammad Sharel Fikri Md Fauzi, memanfaatkan peluang hasil kesilapan komunikasi penjaga gol dan barisan pertahanan lawan untuk gol kemenangan.