Dua pemain baru, Muhamad Syazwan Zaipol Bahari dan Muhammad Nazirul Afif Ibrahim, memberi sumbangan berkesan kepada PKNP FC ketika seri 1-1 dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Jumaat lalu.

Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, berkata kehadiran kedua-dua pemain itu mengubah kemampuan benteng pasukan itu.

Syazwan dan Nazirul Afif dipinjamkan kepada PKNP daripada Perak ketika jendela perpindahan kedua dibuka baru-baru ini.

Mereka membuat penampilan pertama bersama PKNP FC ketika menentang juara Liga Super itu.

Selain dua pemain tersebut, pengendali itu juga memuji gandingan Yashir Pinto, Giancarlo Lopes Rodriguez dan Ramon Da Silva Costa yang turut memberi wajah baru kepada jentera serangan pasukan.

Malah, Costa menjaringkan gol penyamaan untuk mengikat JDT bagi mengutip satu mata berharga.

Walaupun PKNP FC belum selamat daripada penyingkiran, Abu Bakar tetap yakin kemampuan seri dengan JDT itu memberi sinar dalam perjuangan mereka untuk menghadapi baki perlawanan musim ini.

"Saya berharap mereka mampu meneruskan momentum dalam baki perlawanan akan datang, khususnya untuk menghadapi satu lagi perlawanan sukar bertemu Pahang di Stadium Darulmakmur, Kuantan, malam esok.

"Ini satu lagi ujian getir buat kami. Saya berharap kami mampu melepasinya," ujarnya.