PKNP FC sedia melayani kunjungan Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Batu Kawan, esok.

Menurut ketua jurulatihnya, Abu Bakar Fadzim, pengalaman bertemu Selangor sebelum ini banyak memberi pengajaran kepada pasukan dan kali ini PKNP bersedia memberi kejutan kepada pelawat.

"Ini pertemuan kedua menentang The Red Giants dalam Liga Super. Pertembungan sebelum ini terikat 1-1 walaupun boleh dikatakan kami menguasai permainan. Selepas diteliti, kelebihan pasukan lawan terletak kepada pemain berpengalamannya.

"Esok, saya yakin apa yang perlu lakukan," ujar Abu Bakar.

PKNP mungkin kehilangan khidmat ketua pasukan, Muhammad Shahrel Fikri Mohd Fauzi dan Mohamad Ezanie Mat Salleh, yang masih cedera.

"Kedua-dua pemain ini mendapat kecederaan ketika perlawanan menentang Kelantan tempoh hari. Oleh itu, saya berharap dua import baru yang dibawa masuk, iaitu penyerang, Karl Max Dany, yang berasal dari Chad serta pertahanan, Kim Sang-woo dari Korea Selatan tiada halangan untuk diturunkan esok," ujarnya.